Pages

Dunia milik kita bersama ♥♥

My photo
Never trust when you are not certain.

Saturday 10 January 2015

Greatest Jihad in Islam

"Greatest JIHAD in Islam is not to fight the unbelievers in a battle instead the greatest JIHAD in Islam is to fight the EVIL in YOUR OWN SELF!"

Friday 9 January 2015

Typical Malaysian

Sudah lebih seminggu seluruh rakyat Malaysia tidak kiralah di dalam Malaysia mahupun di luar negara digemparkan dengan berita yang mengejutkan lagi menyayat hati tentang bencana banjir yang melanda hebat di negeri-negei sebelah Pantai Timur.
“Bot terbalik,pasangan suami isteri hanyut”, “ bayi dihanyut arus deras”, “air naik hingga ke tingkat 3 rumah” dan pelbagai lagi berita yang mengguris hati pembaca apatah lagi orang yang menghadapinya. Disebabkan bencana yang berlaku ini tidak kurang juga dengan suara-suara sumbang manusia yang menuding jari antara satu sama lain.
“ Sebab pihak si A nilah negeri kita kena bencana begini!”
“Tengoklah! Orang dekat sini bertaruh nyawa untuk selamatkan diri dari bencana, si B boleh main golf dengan gembiranya. Dekat luar negara pulak tu”.
“Ni semua sebab Allah nak “bersihkan” negeri C ni. Sebab tu kena banjir besar macam itu sekali!”
“Padan muka orang Pantai Timur..selalu sangat kutuk-kutuk orang D..tengok sekarang negeri siapa yang kena bala??”
Inikah respon yang sepatutnya kita tunjukkan sebagai sesama manusia? Atau yang lebih penting lagi sebagai seorang Muslim?! AllahhuAkbar! Tidak sepatutnya orang yang sudah mengaku beriman kepada Qada&Qadar yang ditetapkan Allah melontarkan kata-kata yang sedemikian. Tidak takutkah atau tidak malukah kita kepada Allah? Ingatlah wahai sahabat-sahabat sekalian. Kita akan dipertanggungjawabkan di atas setiap bait kata dan tingkah laku kita di akhirat kelak. Astagfirullah!
Kalau kita fikir secara dalam semula adakah ini yang Allah mahu kita sedar dengan ujian yang diturunkan buat kita? Jika ya jawapan kalian, fikirkanlah semula! Saya juga manusia biasa dan tidak mungkin saya tahu apa sebab sebenar Allah menurunkan ujian sebegini besar buat kita semua rakyat Malaysia. Ya! Memang itu yang saya maksudkan . Ujian ini buat kita SEMUA RAKYAT MALAYSIA! Sebab dan hikmahnya Allah menurunkan ujian ini biarlah menjadi rahsia Allah yang mungkin boleh kita nampak di kemudian hari namun apa yang saya pasti dengan ujian inilah Allah mahu kita SEMUA muhasabah diri.
“Ketika aku ditimpa ujian berat sebegini adakah aku redha dan terus ikhtiar untuk mencari jalan keluar atau aku terus menuding jari dan menyalahkan takdir Ilahi?”
“Ketika aku melihat saudara-saudaraku yang ditimpa kesusahan adakah aku bangkit dan menyumbang tenaga, wang mahupun doa buat mereka atau aku mentertawakan mereka kerana aku percaya ini balasan buat mereka?”
Dimanakah kita? Percayalah setiap ujian atau sesuatu perkara yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya dan rahmatnya di kemudian hari. Gunakanlah peluang ini sebagai satu medan untuk kita berbakti kepada sesama manusia dan sebagai satu peringatan buat kita manusia yang sentiasa hanyut dan kufur apabila dilimpahi dengan nikmat yang tak terkira banyaknya.
Allah berfirman:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebaikan yang dikerjakannya dan dia mendapat siksa dari kejahatan yang diperbuatnya…”
[Surah AlBaqarah: 286]
Bagi mangsa-mangsa banjir, redha dan teruskanlah berdoa dengan hati yang ikhlas dan bersih semoga Allah tabahkan hati kalian dan meringankan beban kalian. Bagi rakyat Malaysia yang lain, hulurkan bantuan anda walaupun sedikit. Mungkin dengan bakti yang sedikit inilah boleh kita jadikan modal untuk ke syurga di akhirat nanti insyaAllah. Wallahualam~

Thursday 8 January 2015

‘Allah! Mampus aku!’ tersentap aku daripada mimpi indah apabila aku teringat yang pagi ini aku perlu ke Sindorim untuk ke Pertandingan Badminton yang diadakan oleh persatuan Isma Korea. Pertandingan sepatutnya bermula pada pukul 9 pagi tapi aku baru sahaja tersedar daripada tidur yang lena pukul 8 pagi. ‘Hmmm ok lah tu..Kira awal apa?’ Tidaaaakk! Perjalanan dari rumah aku di Anam hendak ke Sindorim sahaja memakan masa satu jam, nak mandi lagi, tempek bedak lagi kat mukapun sudah memakan masa hampir setengah jam. Hehehe biasalah perempuankan. Sepantas kilat aku bersiap dan apabila jam menunjukkan pukul 8 suku akupun mengambil keputusan untuk menaiki bas sahaja. ‘Alaa, dieorang takkan mula pukul 9 punyalah, paling-palingpun pukul 9 setengah. 9 tu janji melayu je..’ Inilah sikap orang melayu yang sudah sebati dalam diri walaupun sudah bertahun menetap di bumi yang terkenal dengan orang-orangnya yang sangat menepati masa mereka. Iyalah. Lama-lama di negara orangpun lagi lama kita di negara sendiri. Sudah dari kecil kita membiasakan diri berlengah-lengah dalam pergerakan mahupun perkerjaan. ‘Hmmm alahai Malaysia’
Setiba sahaja bas 101 di depan mata aku terus naik dan melilau mataku mencari tempat duduk. ‘Hmmm macam biasalahkan bas penuh je memanjang kalau hujung minggu macam ni. Tak payah hujung minggulah hari biasapun sama je. Berdiri jelah..’ Memang beginilah situasi di dalam kenderaan awam di Korea. Tidak pernah sepi dari penumpangnya. Oleh kerana sistem kenderaan mereka sangat teratur, bukan sahaja rakyat Korea malah warga asing seperti kami juga lebih selesa untuk menggunakan kenderaan awam berbanding kereta mahupun motosikal. Tambangnya juga murah. Kalaulah Malaysia boleh menceduk idea daripada sistem kenderaan di Koreakan bagus. Boleh meringankan beban rakyat yang tidak mampu untuk membeli minyak yang setiap kali tahun berganti pasti orang Malaysia bising dengan berita kenaikan harga minyak. Tetapi jika dinilai semula kehidupan orang-orang di sini lebih teruk berbanding di Malaysia. Kalau kerajaan kita masih boleh dipanggil sebagai “kerajaan berkebajikan” tetapi kerajaan mereka “kerajaan kapitalis”. Mana ada subsidi minyak dan subsidi gula untuk rakyat mereka. Namun mungkin juga kerana rakyat Korea ini memang sudah dididik untuk berkerja keras dan berdiri di atas kaki sendiri sejak dari zaman perang mereka dahulu lagi. Setiap hari kita boleh lihat kehidupan rakyat yang hanya mengejar kesenangan dan kejayaan dengan berkerja dan belajar. Persaingan antara mereka sangat kuat sama ada di peringkat persekolahan mahupun perkerjaan. Masing-masing mengejar untuk jadi No.1 di dalam bidang mereka masing-masing. ‘Mengapa mesti nak dapat No.1? Kedudukan dalam ranking tak penting. Asalkan keputusan kita baik sahaja cukuplah. Kita kena bersaing dengan diri sendiri bukan orang lain.’ Mungkin ayat ini yang selalu kita dengar di Malaysia tapi maaf saudara ayat ini tidak boleh digunapakai di sini. Disebabkan sistem pendidikan mereka berteraskan kepada kedudukan dalam ‘ranking’, mereka tidak punya pilihan lain melainkan belajar keras untuk jadi lebih baik daripada orang lain. Dalam sesuatu kelas sudah ditetapkan quota bagi setiap gred. Ini maksudnya apa? Maksudnya walaupun markah aku sudah layak mendapat gred A tetapi kalau ada ramai lagi pelajar lain seperti aku, A itu belum tentu lagi boleh menjadi milikku. Tak masuk akal! Ya! Mungkin tak masuk akal bagi kita tapi inilah sistem yang telah dijalankan oleh Korea sejak dari zaman Goguryo lagi.
“The next stop is Gongdok bus station.” Terkejut aku dari lamunan yang panjang selepas terdengar pengumuman dari corong mulut bas. ‘Hah?! Gongdok?! Allah dua kali mampus aku hari ni. Dah lah dah lambat ni boleh pulak terlepas stesen. Sepatutnya aku turun di Jongno 1 stesen untuk tukar ke bas 160 untuk ke Sindorim. Aku terus menekan loceng dan turun di perhentian Gongdok. Selangkah sahaja aku turun dari perut bas terbeliak sudah mataku. ‘Allah, ni kat mana pulak ni? Tak pernahpun aku turun dekat sini.Ah sudah….’ Akhirnya aku menahan teksi untuk ke Sindorim memandangkan jam pun sudah menunjukkan hampir pukul 9. Kak Hanim, naqibahku sudah bertanya aku dimana. Disebabkan aku masih jauh lagi untuk sampai, aku minta mereka mula dahulu dan gantikan aku dengan orang lain. Aku tidak mahulah menzalimi masa orang lain. Huhu
“Anyonghaseyo” dengan senyuman lebar pakcik drebar teksi menegurku. Akupun membalas dengan teguran yang sama.
‘Fuhhh nasib baik pakcik ni mesra je..’ Bukan aku tidak suka menaiki teksi tapi adakala pakcik teksi ini muka tak mesra langsung. Mencebik sahaja rupanya macam nak telan orang. Tak selesalah kitakan kalau macam itu. Maklumlah orang melayu penuh denagn budi pekerti dan kita akan sentiasa bermanis muka dan senyum dengan orang lain walaupun kita tak kenal tetapi berbeza dengan orang Korea. Kalau kita berjalan di luar dan berselisih dengan mana-mana orang Korea susah untuk kita bersedekah senyuman dengan mereka. Jikalau bertembung mata dengan orang lain mereka lebih memilih untuk melarikan pandangan serta-merta daripada melemparkan senyuman seperti budaya kita di Malaysia. Mereka takkan senyum atau menegur kita kalau mereka tiada niat-niat yang tertentu. Itulah uniknya warga Malaysiaku yang tercinta. ‘Oh Malaysia!’ 5 minit di dalam teksi, pakcik teksipun membuka mulut memulakan bicara.
“Adik ni datang dari mana?” Tanya pakcik teksi sambal memandangku dari cermin pandang belakang teksi.
“Oh, saya dari Malaysia.” Sepatahku menjawab.
“Ooohhh Malaysia! Pakcik tahu tu. Dulu Malaysia terkenal dengan kehandalan bola sepak.” Terkesima aku mendengar jawapan pakcik teksi itu. ‘Wow! Banyak jugak pakcik tahu. Selalunya orang Korea ni Malaysia tu tang manapun depa tak tau.’
“Eh, pakcik tahu pasal bola sepak Malaysia?” balasku.
“Eh mestilah tahu..Dulu bola sepak Malaysia bukan main hebat lagi. Idola pemain-pemain bola sepak Korea tau!”
Wow! Terkesima aku untuk kalau keduanya.
“Hmm tapi… kenapa sekarang dah tak hebat macam dulu dah?” Gulp! Aku hanya mampu menelan air liur sahaja apabila pakcik itu menyambung kata-katanya. Sambung Pakcik teksi lagi.
“Tulah dulu Malaysia serba-serbi semua lebih hebat daripada Korea. Waktu tu orang Korea nak mencari sesuap nasipun susah tapi Malaysia sudah mula membangun tapi sekarang tup tup Korea sudahpun maju tapi Malaysia pulak yang ketinggalan ke belakang.” Panjang Pakcik teksi menyambung.
“Tulah kan pakcik. Cepat betul Korea ni membangun.” Pendek sahaja balasku dek kerana masih terkejut dengan “direct statement” pakcik teksi tersebut. Memang Korea membangun dan maju dengan sangat pesat. Dalam masa lebih kurang 60 tahun sahaja mereka telah mencapai taraf negara maju.
“Eh mestilah! Kita kalau nak maju mesti kerja keras dan cepat. Kalau lambat-lambat mana boleh maju negara kita ni.” Aku anggukkan sahaja kata-katanya itu. Memang benar apa yang dikatakannya. Dengan budaya orang Malaysia yang berpegang teguh dengan slogan “Biar lambat asal selamat” memanglah tidak boleh maju dengan pesatnya seperti Korea.
“Walaupun sekarang banyak isu pasal sistem pendidikan kami yang “menyeksa” pelajar tapi sistem nilah dulu yang menaikkan negara sampai boleh jadi maju macam sekarang.”
Hmmm mungkin aku kurang bersetuju sedikit dengan kenyataan itu.
“Tapi pakcik, sekarang ramai pelajar yang memberontak suruh kerajaan tukar sistem pendidikan yang sekarang. Kalau tengok berita berapa ramai pelajar sampai bunuh diri disebabkan stress yang melampau.”
Terdiam sebentar pakcik teksi itu. Mungkin mengiyakan kata-kataku.
“Memang betul tapi inilah latihan untuk anak-anak muda supaya nanti bila mereka keluar ke alam nyata, alam perkerjaan mereka tak terkejut dengan sebarang persaingan. Sebab anak-anak muda macam kamu nilah yang kena bangunkan negara kamu tu. Kamu belajar apa di sini?”
“Saya belajar kejuruteraan.”
“Hah! Bagus! Kamu belajar sungguh-sungguh di sini. Belajar dari kami, budaya kerja kami, teknologi kami, nanti kamu boleh bawa pulang ke negara kamu.”
Insaf sebentar aku mendengar nasihat pakcik teksi itu. Memang benarlah kata-katanya. Kerajaan melabur duit beratus-ratus ribu untuk menghantarku belajar di luar negara bukan semata-mata untuk memberi persekitaran baru kepadaku tetapi ini sebenarnya sebagai satu amanat bagiku supaya nanti apabila aku sudah tamat pengajian aku boleh membawa segala ilmu yang aku pelajari di sini ke Malaysia dan seterusnya meneruskan perjuangan pemimpin-pemimpin sekarang dalam memajukan negara.
“Kamu agama apa?” soalan biasa yang aku terima daripada mana-mana orang Korea.
“Saya Muslim. Islam. Pakcik tahu Islam?” Inilah juga antara salah satu sebab Allah menghantar aku di negara yang majoritinya tidak beragama ini. Dakwah! Ya, inilah peluang yang Allah beri kepada orang-orang sepertiku unutk memperkenalkan Islam kepada mereka-mereka yang tidak bernasib baik seperti aku. Orang yang dapat “mewarisi” Islam sejak dari lahir.
“Owhh Islam..Pakcik pernah dengar yang orang Islam tak makan babi. Tapi kenapa eh?”
“Owh..saya minta maaflah kalau mungkin pakcik tak setuju tapi pada kami babi tu buruknya lagi banyak dari yang baiknya, Jadi agama kami larang kami makan. Babi memang bagus untuk lelaki tapi babi ni banyak bawak penyakit jadi lebih baiklah kalau tak dimakan.”
Aku sudah selalu dilontarkan dengan soalan yang sama. Maklumlah daging khinzir memang antara makanan kegemaran mereka. Mungkin juga sebab sedap tapi yang lebih penting daging khinzir jauh lebih murah berbanding daging lembu di Korea jadi rakyat mereka lebih memilih untuk makan daging khinzir.
“Pakcik pulak agama apa?” Sambung aku lagi apabila pakcik itu hanya mengganguk sahaja mendengar jawapanku.
“Hmmm pakcik takde agama.” Balasnya selepas diam seketika.
Aku cuma mengiyakan sahaja. Kalau tanya lebih takut jadi membangkitkan isu sensitif pulak.
“Pakcik bukan tak percaya tuhan dik. Cuma pakcik malas nak bagi komitmen dekat agama ni. Iyalah kalau jadi Kristian kena pergi gereja setiap minggu, kalau Buddha pulak sebulan sekali nak kena daki gunung untuk ke tokong. Malas pakcik! Hidup macam ni sekarangpun dah ok dah. Lagipun pakcik ni memang dari lahir asalnya takde agama.” Panjang lebar pakcik teksi menerangkan kepadaku.
Aku terdiam sahaja mendengar jawapan pakcik itu. Aku mahu mahu mengambil peluang ini untuk menerangkan lebih lanjut lagi tentang Islam. Kalau tidak dapat menyedarkan sekalipun sekurang-kurangnya aku telah memberi pendedahan lebih lanjut lagi tentang Islam kepada pakcik ini namun hanya tersekat di kerongkong sahaja. Iyalah, baru setahun jagung aku mempelajari Bahasa Korea. Masih banyak kekurangan. Soal agama ini kalau kita salah menyampaikan tidak mustahil boleh merosakkan kehidupan seseorang. Jadi aku memilih untuk diam sahaja. Hanya dalam hati sahaja aku mendoakan supaya Allah membuka pintu hati pakcik ini untuk menerima hidayah Allah insyaAllah.
“Sudah sampai dik.”
Selepas membayar tambang teksi aku pun turun dan menuju ke tempat pertandingan. Dalam perjalanan sempat lagi aku mengimbas semula perbualan aku bersama seorang pakcik teksi yang kukira sangat luas pengetahuannya tentang isu semasa dunia. Walaupun pakcik itu tidak beragama tetapi dengan kata-kata dengan pemikiran yang ada padanya boleh membuatkan aku muhasabah diriku. Jika difikirkan semula keadaan aku dan pakcik tersebut tidak berbeza. Pakcik teksi itu dan aku juga dua-dua mewarisi. Mewarisi agama dari nenek moyang kami. Aku menjadi Islam kerana aku memang dilahirkan sebagai Muslim sejak dari kecil dan pakcik itu juga memang dilahirkan dalam keluarga yang tidak beragama. Walaupun pakcik itu tidak beragama tapi tak bermakna beliau tidak percaya Tuhan. Manakala aku pula, aku seorang Muslim tapi adakah aku benar-benar beriman dengan Allah? Benarkah aku tidak pernah melebihkan sesuatu yang lain lebih dari kewajipan kepada Allah? Pernahkan aku lebih mengutamakan drama Korea hingga melewat-lewatkan solat? Astagfirullah.. Semoga Engkau sentiasa melindungiku daripada perbuatan-perbuatan yang boleh mensyirikkanMu ya Allah dan semoga Engkau membuka pintu hati hamba-hambaMu untuk menerima hidayahMu. Amin.
Firman Allah:
“..Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri..”
(Surah Ar-Rad:11)
Tempoh menulis: 1109AM~1517PM/ 27 Dis 2014

Translate