Sudah lebih seminggu seluruh rakyat Malaysia tidak kiralah di dalam Malaysia mahupun di luar negara digemparkan dengan berita yang mengejutkan lagi menyayat hati tentang bencana banjir yang melanda hebat di negeri-negei sebelah Pantai Timur.
“Bot terbalik,pasangan suami isteri hanyut”, “ bayi dihanyut arus deras”, “air naik hingga ke tingkat 3 rumah” dan pelbagai lagi berita yang mengguris hati pembaca apatah lagi orang yang menghadapinya. Disebabkan bencana yang berlaku ini tidak kurang juga dengan suara-suara sumbang manusia yang menuding jari antara satu sama lain.
“ Sebab pihak si A nilah negeri kita kena bencana begini!”
“Tengoklah! Orang dekat sini bertaruh nyawa untuk selamatkan diri dari bencana, si B boleh main golf dengan gembiranya. Dekat luar negara pulak tu”.
“Ni semua sebab Allah nak “bersihkan” negeri C ni. Sebab tu kena banjir besar macam itu sekali!”
“Padan muka orang Pantai Timur..selalu sangat kutuk-kutuk orang D..tengok sekarang negeri siapa yang kena bala??”
Inikah respon yang sepatutnya kita tunjukkan sebagai sesama manusia? Atau yang lebih penting lagi sebagai seorang Muslim?! AllahhuAkbar! Tidak sepatutnya orang yang sudah mengaku beriman kepada Qada&Qadar yang ditetapkan Allah melontarkan kata-kata yang sedemikian. Tidak takutkah atau tidak malukah kita kepada Allah? Ingatlah wahai sahabat-sahabat sekalian. Kita akan dipertanggungjawabkan di atas setiap bait kata dan tingkah laku kita di akhirat kelak. Astagfirullah!
Kalau kita fikir secara dalam semula adakah ini yang Allah mahu kita sedar dengan ujian yang diturunkan buat kita? Jika ya jawapan kalian, fikirkanlah semula! Saya juga manusia biasa dan tidak mungkin saya tahu apa sebab sebenar Allah menurunkan ujian sebegini besar buat kita semua rakyat Malaysia. Ya! Memang itu yang saya maksudkan . Ujian ini buat kita SEMUA RAKYAT MALAYSIA! Sebab dan hikmahnya Allah menurunkan ujian ini biarlah menjadi rahsia Allah yang mungkin boleh kita nampak di kemudian hari namun apa yang saya pasti dengan ujian inilah Allah mahu kita SEMUA muhasabah diri.
“Ketika aku ditimpa ujian berat sebegini adakah aku redha dan terus ikhtiar untuk mencari jalan keluar atau aku terus menuding jari dan menyalahkan takdir Ilahi?”
“Ketika aku melihat saudara-saudaraku yang ditimpa kesusahan adakah aku bangkit dan menyumbang tenaga, wang mahupun doa buat mereka atau aku mentertawakan mereka kerana aku percaya ini balasan buat mereka?”
Dimanakah kita? Percayalah setiap ujian atau sesuatu perkara yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya dan rahmatnya di kemudian hari. Gunakanlah peluang ini sebagai satu medan untuk kita berbakti kepada sesama manusia dan sebagai satu peringatan buat kita manusia yang sentiasa hanyut dan kufur apabila dilimpahi dengan nikmat yang tak terkira banyaknya.
Allah berfirman:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebaikan yang dikerjakannya dan dia mendapat siksa dari kejahatan yang diperbuatnya…”
[Surah AlBaqarah: 286]
Bagi mangsa-mangsa banjir, redha dan teruskanlah berdoa dengan hati yang ikhlas dan bersih semoga Allah tabahkan hati kalian dan meringankan beban kalian. Bagi rakyat Malaysia yang lain, hulurkan bantuan anda walaupun sedikit. Mungkin dengan bakti yang sedikit inilah boleh kita jadikan modal untuk ke syurga di akhirat nanti insyaAllah. Wallahualam~


No comments:
Post a Comment